Kejayaan akademik semata-mata tidak akan memastikan pelajar itu turut cemerlang dalam menghadapi dunia kehidupan sebenar. Bagaimanapun, kita tidak dapat menolak kepentingan pendidikan yang menjadi asas kejayaan individu. Proses pendidikan tidak hanya terhenti di dalam bilik darjah sahaja malah manusia sentiasa perlu belajar sehingga ke akhir hayat. Barulah kejayaan dan kecemerlangan akan sentiasa mengikut diri kita.
Pendidikan juga tidak hanya berkisar kepada pendidikan formal yang hanya melibatkan kertas, pen , syarahan dan peperiksaan. Perhubungan luar antara rakan sebaya, guru, keluarga dan masyarakat perlu diberi perhatian oleh pelajar sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran. Andalah yang akan menentukan samaada anda bergerak, membesar dan membangun dalam suasana yang akan membentuk kecemerlangan sebagai seorang pelajar DI SBP.
Ramai pelajar ingin berjaya sebagai pelajar. Pelajar yang berjaya sering dikaitkan dengan keputusan peperiksaan yang baik, dapat melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dan mendapat pekerjaan yang baik. Ada juga yang berpendapat pelajar yang berjaya seharusnya mempunyai ketrampilan diri yang baik. Soal berjaya sebagai pelajar perlu di nilai daripada pelbagai sudut.Aspek yang paling penting dalam menentukan kejayaan pelajar ialah keperibadian pelajar itu sendiri. Pelajarlah yang perlu menilai, melihat dan cuba pula untuk membentuk diri dengan kefahaman Islam yang sempurna.